mutakhir

Pemandu van terlampau

Oleh Nor Azizah Mokhtar

PENDERITAAN seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang menjadi mangsa seks luar tabii pemandu van sekolahnya dalam kejadian di Bangi, di Kajang, berakhir apabila lelaki itu dicekup polis, semalam.

Perbuatan jijik suspek berusia 47 tahun terbongkar selepas seorang lagi kanak-kanak yang juga penumpang van sekolah berkenaan memberitahu perkara itu kepada bapa mangsa, petang kelmarin.

Susulan laporan dibuat bapa mangsa berusia 44 tahun jam 8.10 malam di Balai Polis Bangi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menggerakkan pasukan mengesan suspek.

Selepas berjaya mengesan kedudukannya, suspek akhirnya ditahan jam 9.50 malam di satu lokasi di Bangi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, suspek dipercayai sudah beberapa kali memaksa mangsa melakukan perbuatan keji itu dan turut dilihat murid lain yang menaiki van sekolah berkenaan.

Katanya, pada hari kejadian seorang rakan mangsa mengadu kepada bapa kanak-kanak berkenaan yang dia ternampak rakan sebayanya dipaksa melakukan perbuatan itu.

“Bapa mangsa kemudian nampak anaknya turun dari van berkenaan dalam keadaan menangis dan ketika di dalam rumah, bapa mangsa bertanya lebih lanjut apa yang berlaku.

“Mangsa memberitahu suspek sudah beberapa kali memaksanya melakukan perbuatan itu selain diugut supaya tidak mengadu kepada ibu bapanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan satu kes cabul dan tiga kesalahan dadah.

“Polis menjalankan ujian saringan air kencing terhadap suspek dan keputusannya negatif.

“Suspek kini direman enam hari sehingga 31 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga disebat,” katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2018 @ 5:35pm
d