mutakhir

'Selagi daya saya puasa'

Oleh Noor Azurin Mohd Sharif

Melaka: Menderita sakit saraf kronik hingga menyebabkan terlantar sejak 17 tahun lalu bukan penghalang bagi seorang pemuda di Bukit Katil, di sini, menunaikan kewajipan berpuasa.

Shaiszuan Shahepolbari, 30, berkata tiada sebab untuk dia gagal menunaikan tanggungjawab rukun Islam ketiga itu yang sudah dimulakan sejak berusia 12 tahun walaupun ketika itu dia baru disahkan menghidap penyakit berkenaan.

“Sejak di bangku sekolah saya diajar ibu dan ayah untuk berpuasa. Biarpun tidak mampu menguruskan diri sendiri, selagi terdaya saya akan cuba berpuasa.

“Syukur saya masih diberi peluang merasai nikmat bersahur dan berbuka, tapi tipulah kalau saya tak pernah tinggal puasa itupun kerana kurang sihat,” katanya.

Shaiszuan ditemui ketika menerima kunjungan Ketua Menteri, Adly Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil di kediaman keluarganya di Taman Merak Mas, di sini, semalam.

Katanya, dia dilahirkan normal tetapi mula mengalami gejala lemah anggota badan ketika berusia 12 tahun yang menyebabkan dia tidak mampu berjalan.

“Saya anggap ini semua ujian Allah dan doktor menasihatkan saya supaya positif dan ceria untuk melawan penyakit ini. Ibu dan ayah juga banyak memberikan kata semangat,” katanya.

Shaiszuan mempunyai lima beradik dengan tiga daripada mereka berstatus orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, ibunya Maznah Mekmat, 53, berkata dia menerima ujian serta ketentuan nasib tiga anaknya namun bersyukur dua lagi anaknya dilahirkan normal.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 7:04am
d