mutakhir

Mukhriz terajui KFA

Oleh Petah Wazzan Iskandar

DATUK Seri Mukhriz Mahathir akan mengambil tanggungjawab sekali lagi dengan menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sekali gus memenuhi harapan majoriti penyokong Skuad Helang Merah.

Menteri Besar Kedah itu berkata, keputusan terbabit dibuat selepas menerima pelbagai maklum balas dan sokongan dari penyokong Skuad Helang Merah melalui media sosial yang dibacanya sendiri.

Katanya, beliau mengakui kecenderungan untuk menjadi Presiden disebabkan hasrat majoriti penyokong Kedah yang mahukan pasukan terbabit terus menjulang piala kemenangan.

"Selepas menjadi Menteri Besar, saya sememangnya diberi tanggungjawab seperti Presiden maka sudah alang-alang buat kerja terbabit, lebih baik teruskan saja.

"Malah, pihak pengurusan KFA pun berharap sangat saya kembali menjadi Presiden bagi bersama-sama bekerja untuk memastikan Kedah terus unggul dan menjadi pasukan nombor satu.

"Atas harapan itu, saya akan terajui KFA kecuali ada yang berhasrat mahu jadi Presiden dalam mesyuarat agung tahunan yang akan diadakan pada bila-bila masa nanti," katanya hari ini.

Baru-baru ini, Penasihat kelab penyokong Red Eagle Frenz Kedah, Mohd Amirul Ashraf Abu Mansor, mengakui KFA masih memerlukan kuasa politik dalam aspek pentadbirannya khususnya pembabitan daripada Menteri Besar.

Beliau berkata, tidak salah jika KFA masih dinaungi orang politik jika individu itu ternyata berjaya membawa KFA ke satu aras yang membanggakan.

Perkara sama turut disokong Presiden Peminat Bola Sepak Kedah, Fazli Mansor yang menegaskan pembabitan ahli politik secara tidak keterlaluan dalam KFA diperlukan khususnya dalam soal dana.

Mukhriz berkata, beliau dapat merasai terdapat satu harapan diletakkan atas bahunya dan rakan-rakannya dalam membentuk satu pasukan yang jitu.

"Ini adalah acara berpasukan dan ia tidak boleh dilakukan secara sendirian tetapi memerlukan kerjasama semua pihak untuk menjayakannya," katanya.

Ketika ditanya mengenai jawatan yang kosong dalam dalam KFA susulan kemenangan Pakatan Harapan, Mukhriz yang juga Pengerusi negeri berkata, pihaknya sudah mempunyai calon yang bersesuaian dan sedang dinilai.

"Kita sudah mempunyai calon yang boleh mengisi kekosongan tetapi semuanya sedang dipertimbangkan. Selepas selesai nanti, kita akan umumkan nama mereka ini," katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 9:34am
d