mutakhir

'Rasa lebih dekat dengan Allah SWT'

Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin

“SUASANA Ramadan membuat saya lebih tenang apabila pertama kali menyambutnya," kata Abdul Wahid Song Sii Chong, mualaf yang pertama kali menjalani ibadat puasa selepas memeluk Islam pada tahun lalu.

Abdul Wahid, 29, daripada kaum Iban yang berasal dari Sibu, kini terpaksa tinggal di Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA) Islamic Outreach ABIM Kelantan, Kok Lanas, Kota Bharu selepas dibuang keluarganya berikutan tindakannya memeluk Islam pada Mei tahun lalu.

"Ramadan ini menyebabkan saya lebih dekat dengan Allah SWT dan mungkin ini kelebihan pada bulan mulia ini sekali gus menyebabkan saya dapat melupakan semua masalah yang dihadapi termasuk keluarga yang kini membenci saya.

"Tidak dapat dinafikan, pada mulanya memang sukar untuk dilakukan kerana terpaksa menahan lapar dan dahaga. Ketika dalam Kristian, saya ada berpuasa tapi boleh makan dan minum, cuma tidak boleh terlalu kenyang.

"Namun begitu, berpuasa ini mengajar kita erti kesabaran selain dapat meningkatkan lagi keimanan dan kekuatan dalam diri kita," katanya ketika ditemui, di sini.

Abdul Wahid berkata, dia mula mendapat hidayah sejak di bangku sekolah selepas mengenali ramai kawan beragama Islam.

"Tahun lalu baru saya memberanikan diri memeluk Islam walaupun permintaan itu ditentang oleh keluarga. Keluarga memang tidak boleh terima menyebabkan saya terpaksa tinggal di pejabat Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) sementara waktu kerana tidak mempunyai rumah.

"Daripada itu, saya mula mendalami dan mempelajari Islam sehinggalah IKRAM menghantar saya di PULDOA pada bulan lalu. Sekarang ini, saya mempunyai ramai kawan yang kebanyakannya pertama kali berpuasa di pusat latihan ini," katanya yang sebelum ini bekerja sebagai penebar roti canai, di Sibu.

Sementara itu, seorang mualaf, Mohd Nabil Asyraf Abdullah, 29, dari Pulau Pinang turut mengalami nasib sama apabila keluarganya tidak bersetuju dia memeluk Islam, tahun lalu.

"Saya ada mengenali seorang kawan yang juga seorang mualaf dan dia yang membawa saya datang di PULDOA, Kok Lanas bagi mempelajari Islam. Islam adalah agama ketenangan dan ini adalah pertama kali saya menyempurnakan Rukun Islam ketiga ini," katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 12:01pm
d