mutakhir

Anggota RELA ditahan pukul polis

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

ANGGOTA polis cedera di kepala selepas dipukul menggunakan cota oleh anggota rela di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur, kelmarin.

Dalam kejadian 9.30 malam, mangsa dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebelum terdapat beberapa orang anggota rela sedang buat kawalan lalu lintas di jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, mangsa kemudian membunyikan hon ketika melalui jalan berkenaan kerana terdapat pejalan kaki melintas jalan.

"Bagaimanapun, ia menimbulkan salah faham sebelum anggota rela berkenaan menjerit memanggil mangsa.

"Mangsa kemudian berhenti di tepi jalan dan berjumpa dengan beberapa orang anggota rela berkenaan untuk bertanya apa sebab mereka memanggilnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shaharudin berkata, seorang lelaki yang juga anggota rela secara tiba-tiba menolak mangsa dan menarik bajunya.

"Mangsa memberitahu dia adalah kakitangan awam sebelum menunjukkan kad kuasa polis, namun datang empat orang anggota rela menarik tangan pengadu ke belakang dan mencekik leher sebelum mengheret pengadu ke tepi jalan.

"Seorang daripada anggota rela berkenaan memukul mangsa sehingga berdarah," katanya.

Katanya, anggota rela berkenaan cuba melarikan diri selepas perbuatannya itu dilihat oleh orang awam.

"Mangsa kemudian membawa motosikalnya ke IPK Kuala Lumpur untuk meminta bantuan. Susulan laporan itu, polis berjaya menahan suspek berusia 59 tahun berhampiran lokasi kejadian.

"Suspek kini ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 12:39pm
d