mutakhir

Sempat rembat TV 50 inci

Oleh Mohd Rizal Abdullah

TUKANG masak lelaki kerugian hampir RM15,000 apabila rumahnya di Desa Murni, Miri, diceroboh individu tidak dikenali petang kelmarin.

Kejadian disedari pada 6.30 petang apabila lelaki berusia 33 tahun itu pulang ke rumah dari tempat kerjanya.

Menurut sumber, lelaki terbabit tergamam apabila mendapati televisyen 50 inci diletakkan di ruang tamu rumahnya lesap, sebelum dia membuat pemeriksaan seluruh rumah.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati pelbagai barangan lain, termasuk telefon bimbit, barangan kemas dan wang tunai dengan nilai keseluruhan hampir RM15,000 lesap.

“Individu terbabit dikesan menceroboh melalui pintu dapur belakang berikutan kesan pecah masuk pada pintu berkenaan,” katanya.

Katanya, individu terbabit dipercayai masuk melalui rumah bersebelahan yang kosong dan terus ke bahagian belakang rumahnya.

“Ia secara tidak langsung mengelak perbuatannya disedari orang awam di kawasan itu,” katanya

Katanya, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Pusat Miri pada hari sama.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 2:15pm
d