mutakhir

Sampai hati nak potong kepala ibu

Oleh Junaidi Ladjana

LELAKI dipercayai di bawah pengaruh alkohol bertindak kejam apabila tergamak mencekik serta mengugut ibu bapanya dengan parang di rumah mereka di Kampung Naluyan, Sipitang, semalam.

Lebih menyedihkan kejadian itu berlaku pada 6.30 petang, ketika ibu bapa suspek sedang berbuka puasa.

Menurut sumber, suspek dikatakan datang ke rumah dalam keadaan mabuk dan mengamuk sambil membawa parang.

“Suspek kemudian marah dan mengeluarkan kata ugutan ‘potong kepala kau’ kepada ibunya.

“Selepas itu, suspek ke arah bapanya dengan meletakkan parang di dada mangsa sambil mencekik leher bapanya yang berusia 60 tahun,” katanya di sini.

Sumber berkata, ketika itu, suspek mengeluarkan kata-kata ugutan iaitu ‘mati kau’.

“Suspek kemudian mengamuk dengan bertindak merosakkan pintu rumah, kerusi, dan beberapa barang dapur dengan parang sebelum beredar.

“Bimbang dengan keselamatan mereka, mangsa kemudian membuat laporan polis,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis menahan suspek terbabit pada hari yang sama laporan itu diterima.

“Punca kejadian suspek bertindak sedemikian masih dalam siasatan, namun ketika kejadian suspek dipercayai di bawah pengaruh alkohol.

“Suspek berusia 36 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sipitang untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 3:28pm
d