mutakhir

Sampai hati...

Oleh Junaidi Ladjana

MAYAT bayi perempuan ditemui dalam keadaan memilukan dengan ususnya terkeluar di kawasan tapak pelupusan sampah Kayu Madang Telipok, dekat Kota Kinabalu, hari ini.

Mayat bayi yang baru dilahirkan itu ditemui pekerja kontraktor di tapak pelupusan berkenaan kira-kira 9 pagi, ketika meratakan sampah di kawasan itu.

Susulan penemuan mayat bayi terbabit, pekerja kemudian memaklumkan kepada pihak pengurusan di tapak pelupusan sebelum laporan polis dibuat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan mayat membengkak dan ususnya terkeluar.

“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kota Kinabalu (HWKK), Likas.

“Seterusnya mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat dan menyaksikan kejadian ini diminta supaya tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Nur Nabila Ismailuddin di talian 013-2809231,” katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 8:32pm
d