mutakhir

Hanya sekali sambut Aidilfitri dengan suami

Oleh Nur Saliawati Salberi

“Sudah takdir saya dan suami diberi kesempatan menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama hanya sekali, walaupun perit namun saya perlu kuat untuk anak kami,” kata ibu muda Siti Rohani Marzuki, 26.

Siti Rohani kehilangan suami tercinta sehari sebelum umat Islam menjalani ibadah puasa baru-baru ini.

Suaminya, Muhammad Syafik Izwan Abdul Jamil, 28, maut dalam perjalanan ke tempat kerja selepas terbabit kemalangan di Taman Merdeka, Batu Berendam, 16 Mei lalu.

Menurut Siti Rohani, gembira menerima kehadiran cahaya mata pertama mereka iaitu Muhammad Asyraf pada Januari lalu, suaminya meluahkan untuk membawa mereka pulang beraya di Johor dan Pahang pada Aidilfitri namun semua itu tinggal kenangan.

Katanya, dia bukan saja kehilangan suami malah tempat bergantung hidup kerana segala keperluan mereka sebelum ini diurus suami.

“Kehilangannya satu tamparan hebat buat saya, kami baru dikurniakan anak yang perlukan kasih sayang ibu dan ayah tetapi kini hanya saya tinggal.

“Walaupun perit, saya harus bangkit demi anak kerana perjalanan hidupnya masih jauh dan saya perlu menyediakan segala keperluan anak berbanding sebelum ini, semua disediakan suami,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menerima cek Faedah-faedah Pengurusan Jenazah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO) yang disampaikan Ketua Menteri Adly Zahari semalam.

Hadir sama Pengarah PERKESO negeri Fadhilah Hamil di kediamannya di sini, semalam.

Menurut Siti Rohani, sumbangan yang diberikan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban selain membantu membeli keperluan anaknya yang masih kecil.

Terdahulu, pada kunjungan itu, Siti Rohani menerima RM2,000 selain turut menerima pencen Faedah Orang Tanggungan seumur hidup manakala anaknya sehingga mencapai umur 21 tahun.

Keterangan Gambar:

1) SITI Rohani terima cek PERKESO semalam.

Gambar Nur Saliawati Salberi

Ends....

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 10:26pm
d