mutakhir

'Pegawai polis jual peluru polis ditahan'

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

PEGAWAI polis lelaki ditahan selepas dikesan cuba menjual lebih 500 peluru hidup milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Suspek, 30-an ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hasil maklumat diperolehi.

Sumber berkata, suspek yang memandu kereta ditahan di Pusat Bandar Puchong pada 10.30 malam kelmarin.

Menurutnya, polis yang melakukan siasatan lanjut terhadap kereta milik suspek menemui satu tong peluru diletakkan di bahagian tempat duduk belakang.

“Terdapat 11 kotak peluru pistol di dalam tong itu dengan setiap satu kotak berisi 50 butir peluru hidup.

“Selain itu terdapat juga sekotak peluru mengandungi 19 butir peluru milik PDRM.

“Siasatan lanjut mendapati suspek cuba menjual peluru itu kepada pelanggan tertentu. Bagaimanapun, polis masih menyiasat identiti pelanggan terbabit,” katanya.

Katanya, suspek ditahan dan dibawa ke IPK Selangor untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung tangkapan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Senjata 1960," katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 11:45pm
d