mutakhir

Songkok tinggi kini jadi kegilaan

Oleh Mohd Rafi Mamat

Pekan: Songkok tinggi digunakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kini menjadi kegilaan golongan muda untuk digayakan di pagi Aidilfitri.

Mengambil inspirasi itu, tukang songkok di Bazar Muhibah di sini, membuka tempahan sejak beberapa bulan sebelum Ramadan khusus untuk songkok istimewa itu.

Mohd Nasrul Hassan, 46, berkata dia menggunakan kain diimport dari Perancis dan Itali untuk menghasilkan songkok tinggi berukuran 10.16 sentimeter ala Tengku Abdullah beberapa tahun lalu.

Menurutnya, permintaan tinggi terhadap songkok itu bukan hanya dalam kalangan penduduk tempatan, malah luar Pahang.

Dia yang berasal dari Kampung Ketapang Hilir katanya, songkok tinggi mempunyai ruang rata di bahagian atas tidak seperti songkok lain.

“Tahun ini banyak tempahan songkok yang minta fesyen Tengku Abdullah yang mana songkoknya lebih tinggi. Orang muda ramai yang berminat dan bukan hanya terkenal dalam kalangan istana sahaja.

“Sehingga kini saya terima tempahan songkok melebihi 800 termasuk songkok biasa. Harga untuk songkok biasa antara RM20 dan RM100 manakala songkok tinggi pula dari RM85 sehingga RM130,” katanya, semalam.

Mohd Nasrul yang sudah 25 tahun berniaga berkata, tempahan songkok pada Ramadan bertambah dua ke empat kali ganda berbanding kebiasaan dan dia terpaksa bekerja setiap hari untuk penuhi tempahan.

Menurutnya, masa diambil untuk menyiap sebuah songkok adalah 45 minit bergantung saiz, rekaan dan jenis kain serta sulaman.

Dia yang mewarisi pembuatan songkok daripada arwah bapanya, Hassan Jantak kini berbangga apabila masih bertahan mengusahakan perniagaan itu.

“Saya berbangga mempertahankan budaya Melayu nusantara ini dan dengan sedikit kemahiran yang ada saya dapat menghasilkan sesuatu untuk rakyat,” katanya yang pernah diberi peluang menghasilkan songkok untuk Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang mempunyai reka bentuk tersendiri.

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 7:30am
d