mutakhir

'Apa guna gelaran kalau...'

Oleh Hassan Omar

BIARPUN sudah menempa nama di persada antarabangsa sebagai johan qariah dalam majlis tilawah al-Quran baru-baru ini, Suhailah Zulkifly tetap membantu orang tuanya mencari rezeki sepanjang Ramadan.

Gelaran itu tidak menghalang anak sulung daripada empat beradik itu membantu ibunya, Robiah Ahmad, 55, menghasilkan pelbagai jenis kuih dan memastikan juadah berkenaan menambat hati pelanggan yang melalui jalan pekan Masjid Tanah-Pengkalan Balak, Alor Gajah.

Pada waktu Suhailah tidak mengajar di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) di Kuala Sungai Baru, di sini, gadis berusia 28 tahun itu tidak mahu ketinggalan membantu ibunya di dapur seterusnya bersama bapa, Zulkifly Johar, 59, melayan pelanggan di gerai bazar Ramadan, terletak di Kampung Londang, Masjid Tanah.

"Pada hari Isnin hingga Jumaat saya mengajar kertas usuluddin dan sumber manusia di KUIM. Cuma pada Sabtu dan Ahad jika saya tiada kelas taranum, saya membantu ibu di dapur dan menjual juadah berbuka.

"Apa ada pada nama jika kita sebagai anak tidak boleh berbakti kepada orang tua kita," katanya ketika ditemui di gerainya, hari ini.

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan al-Quran, Sunnah dan Sosiologi itu berjaya menamatkan pengajian tahfiz 30 juzuk al-Quran di sebuah maahad tahfiz di Kuala Kubu Baru, Selangor sebelum itu.

Suhailah muncul johan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-60 pada 11 Mei lalu selepas memperoleh 92.05 markah, manakala Abdullah Fahmi Che Nor muncul johan qari.

Masing-masing membawa pulang kepingan emas bernilai RM70,000, piala iringan dan wang tunai RM40,000.

Sebelum meraih kejayaan itu, Suhailah terlebih dulu mengecapi kemanisan muncul johan tilawah peringkat negeri Melaka pada tahun 2011, 2012, 2015, 2017 dan 2018.

Hanya dalam penyertaan di peringkat kebangsaan pada tahun ini, Allah SWT memurahkan rezeki anak bekas tentera itu untuk muncul johan qariah, sebelum bersaing di peringkat antarabangsa.

"Saya menjangka qariah dari Indonesia bakal menjuarai tilawah itu, tetapi Alhamdulillah, Allah SWT murahkan rezeki saya selepas saya berjaya membawa empat lagu iaitu bayati, hijaz, nahawand dan rast dalam bacaan selama 10 minit," katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 1:43pm
d