mutakhir

Solat tarawih tergendala sebab banjir

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SERAMAI 80 jemaah Surau Rumbia di Jalan Damansara, Kampung Penchala, Kuala Lumpur terpaksa membatalkan solat tarawih selepas surau berkenaan dinaiki air setinggi satu meter, semalam.

Lebih buruk lagi apabila barang mentah untuk persiapan berbuka puasa jemaah turut musnah akibat air naik mendadak.

Ahli Jawatankuasa Surau, Noor Zuraini Ishak berkata, kejadian berlaku 6.30 petang akibat hujan lebat.

"Ketika itu hanya beberapa orang sahaja yang berada di surau berkenaan.

"Kira-kira setengah jam, kemudian air sudah memenuhi bahagian surau berkenaan sehingga merosakkan beberapa barang mentah dan elektronik," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Noor Zuraini berkata, banjir yang berlaku di surau berkenaan bukan kali pertama, malah setiap kali hujan lebat berlaku.

"Banjir berlaku akibat longkang Sungai Penchala yang terletak di belakang surau terlalu sempit dan cetek.

"Kami memohon pihak berwajib mengambil tindakan segera kerana kawasan berkenaan sering dinaiki air," katanya.

Sementara itu, Jemaah Surau, Mohd Lokman Mohd Razali berkata, kerja-kerja pembersihan surau berkenaan dilakukan kira-kira 9 malam.

"Jemaah surau mendapatkan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membersihkan surau berkenaan.

"Beberapa barangan elektrik seperti penghawa dingin dan sistem audio rosak," katanya.

Dalam pada itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.09 malam tadi.

"Seramai enam pegawai dan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Dr Ismail dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati air hujan sedalam lebih satu meter bertakung di dalam surau berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pihaknya menjalankan operasi menyedut air menggunakan pam untuk mengeluarkan air yang bertakung di dalam surau terbabit.

"Hujan lebat kira-kira 7 malam tadi menyebabkan surau berkenaan dinaiki air sehingga bertakung di dalam surau itu.

"Sebaik selesai menyedut air banjir terbabit, kami melakukan kerja-kerja pembersihan surau berkenaan sebelum operasi tamat pada 11.40 malam," katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 2:11pm
d