mutakhir

Alahai cikgu...

Oleh Mohammad Ishak

POLIS menahan guru lelaki berusia 34 tahun dan merampas pelbagai jenis mercun serta bunga api keseluruhan bernilai RM10,000 dalam serbuan di rumah di Kampung Pulau Panjang, Jertih, awal pagi tadi.

Serbuan pada 2.30 pagi itu dilakukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, hasil pemeriksaan dalam premis itu, polis menemui 32 jenis mercun dan bunga api yang diletakkan di dalam bilik di rumah berkenaan.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai guru sekolah menengah di daerah ini dipercayai baru sahaja memperoleh bekalan mercun dan bunga api berkenaan daripada negara jiran.

Beliau berkata, serbuan itu adalah yang terbesar di daerah ini pada tahun ini menjelang sambutan Aidilfitri.

"Semua mercun dan bunga api yang dirampas dipercayai diperoleh daripada orang tengah sebelum dijual sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

"Dalam serbuan itu, antara mercun dan bunga api dirampas termasuk jenis Happy Boom, Papan Bulat, Avion Nocturno, Glow of Sunset dan On Fireworks dan mercun bola.

"Nilai rampasan mercun dan bunga api terbabit dianggarkan bernilai RM10,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, sebentar tadi.

Mohd Zamri berkata, suspek disahkan tiada sebarang rekod jenayah dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Bahan Letupan 1957.

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 3:15pm
d