mutakhir

Risau bila hujan lebat

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KIRA-KIRA 100 penduduk dan pesawah di Kampung Barokhas, Padang Terap terjejas apabila kawasan rumah dan sawah mereka sering dilimpahi air selepas hujan lebat.

Mereka mendakwa, pada bulan ini sahaja, air telah melimpah sebanyak tiga kali dipercayai berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sempurna di tepi Jalan Pedu kira-kira sepanjang 200 meter.

Pengusaha madu kelulut, Mohd Riban Zainon, 42, berkata, keadaan yang berlarutan sejak tiga tahun lalu menyebabkan taman kelulutnya sering dilimpahi air selain turut menghanyutkan sampah ke taman itu.

“Apabila hujan turun lebat selama sejam, pasti air akan melimpah masuk, keadaan parit ini sudah terlalu cetek selain turut ditambak oleh individu tertentu bagi memudahkan kenderaan dan jentera padi keluar masuk.

“Taman kelulut saya diiktiraf sebagai tempat pelancongan di daerah ini, namun air yang melimpah dari parit depan taman ini benar-benar meletihkan saya, walaupun airnya tidak tinggi dan hanya di paras betis tapi selepas air surut saya perlu membersihkan sampah yang masuk,” katanya.

Seorang pesawah, Ishak Ahmad, 63, pula berkata, setiap kali hujan lebat sudah pasti air akan masuk ke halaman rumah serta mengalir ke sawahnya hingga terpaksa menanggung kerugian.

“Pada tahun lalu, saya kerugian hampir RM5,000 apabila padi yang sudah masak rosak kerana ditenggelami air selama seminggu.

“Oleh kerana tiada saliran yang sempurna, air sukar untuk keluar ke tali air dan masalah ini turut ditanggung oleh petani yang mengusahakan sawah sebanyak enam hektar di sini,” katanya.

Beliau mendakwa, mereka sudah lama menanggung kerugian hingga ada pemilik tanah memberi sewa kepada orang lain kerana selalu rugi.

Selain itu, Ishak memberitahu air hujan yang masuk ke sawah dari jalan utama itu juga sangat deras hingga beberapa benteng sawahnya turut runtuh dan terpaksa dibaik pulih.

Katanya dia sangat berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengelak petani di sini terus mengalami kerugian.

Sementara itu, Pegawai Daerah Padang Terap Fathullah Suhaimi Ismail ketika dihubungi berkata, beliau akan mengarahkan pegawai bahagian teknikal dari Pejabat Daerah dan Tanah daerah itu untuk meninjau kawasan parit berkenaan.

“Sebelum ini, mungkin maklumat tidak sampai kepada saya tapi saya akan siasat perkara ini.

“Pihak kami akan mendapatkan maklumat terperinci daripada penduduk yang terjejas disamping meninjau keadaan di parit itu. apabila laporan siap, barulah tindakan sewajarnya akan diambil bagi mengatasi masalah terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 3:36pm
d