mutakhir

Lapor SPRM agihan lot tanah tak adil

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

PERTUBUHAN Gerak Generasi FELDA 2 (GGF2) Bukit Cherakah Selangor membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa individu kerana disyaki berlaku tidak adil dalam agihan lot tanah kepada peneroka.

Pengerusinya, Faisal Rahman berkata, pihaknya juga mengesan individu sama terbabit dalam pembinaan satu projek kondominium di atas beberapa bidang tanah di Bukit Cherakah yang sepatutnya diberikan kepada peneroka FELDA pada Februari lalu.

Beliau berkata, berdasarkan bancian kerajaan Selangor sebelum ini, sebanyak 229 lot tanah dikenalpasti untuk tujuan pembangunan kampung moden peneroka FELDA.

“Bagaimanapun, pihak berkenaan didakwa menyimpan beberapa lot tanah untuk pembinaan kondominium, selain cuba menipu 176 peneroka FELDA dengan mengatakan tanah sudah tidak cukup,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Katanya, pihak berkenaan juga enggan memberikan sebarang dokumen dan pelan tanah kepada GGF2 Bukit Cherakah selepas diminta berbuat demikian.

Faisal berkata, pihaknya hairan bagaimana tanah tidak cukup sedangkan bancian menunjukkan terdapat lebihan tanah untuk pembangunan kampung moden FELDA.

“Sehubungan itu, kami gesa SPRM agar dapat menjalankan siasatan terhadap pihak berkenaan yang turut didalangi seorang ketua cawangan parti politik berhubung pembabitan mereka terhadap agihan tanah dan projek pembinaan kondominium tersebut,” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 5:44pm
d