mutakhir

Ceria dapat jubah, serban baru

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

KECERIAAN jelas terpancar pada raut wajah 105 kanak-kanak Rohingya dari Maahad Al Arkan Li Tahfiz al Quran apabila menerima sumbangan jubah dan serban daripada Yayasan Al Nasmir, semalam.

Mudirnya, Noor Muhammed Al-Hafiz berkata, pihaknya berterima kasih atas sumbangan diberikan terutama dalam Ramadan berikutan pelajar di pusat tahfiz itu terdiri daripada etnik Rohingya berusia 7 hingga 13 tahun yang kurang berkemampuan dan ada sebahagiannya yatim piatu.

Beliau berkata, pihaknya bergantung kepada sumbangan individu dan yuran pelajar, namun ada sebahagian daripada pelajar itu hanya membayar yuran sekadar mampu berikutan ada datang keluarga tidak berkemampuan dan anak yatim kematian ibu bapa.

“Maahad tahfiz yang beroperasi di Bandar Prai Jaya, Prai ini menyediakan pembelajaran ilmu hafazan al-Quran, fardu ain, bahasa Melayu, bahasa Arab, Inggeris dan Jawi dan yang terbaru pada tahun ini mereka mempelajari kemahiran asas komputer.

“Bagi pelajar yang sudah menamatkan pengajian 30 juzuk al-Quran, mereka akan dipindahkan dan menyambung pelajaran di cawangan kedua kami yang beroperasi di Kulim, Kedah,” katanya.

Beliau berkata, sejak pusat tahfiz itu mula beroperasi awal April 2014, Pengarah Urusan Nasmir Holding Sdn Bhd, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak banyak memainkan peranan penting dalam membantu meringankan beban pihaknya seperti sumbangan makanan dan barangan dapur terutama bulan Ramadan.

Sementara itu, Kadhar Shah berkata, sumbangan disalurkan kepada pusat tahfiz terbabit adalah menerusi Yayasan Al Nasmir.

“Selain membawa semua kanak-kanak Rohingya ini membeli kelengkapan jubah dan serban di kedai pakaian di Bandar Perda, Bukit Mertajam, dibawa berbuka puasa di Masjid Bagan Nyiur, Juru.

“Menerusi Yayasan Al Nasmir, kami menghulurkan sumbangan barangan dapur, kuih-muih, kurma, minuman berkotak dan banyak lagi sepanjang Ramadan ini kepada mereka,” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 6:58pm
d