mutakhir

Banglo Pengarah Eksekutif MEF terbakar

Oleh Mohd Hasbi Sidek

KEDIAMAN Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan di Jalan Desa 6/10, Bandar Country Homes, Rawang, musnah dalam kebakaran malam tadi.

Difahamkan, dalam kejadian 7 malam itu, banglo tiga tingkat berkeluasan itu musnah 80 peratus.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Nurizawan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.20 malam iaitu beberapa minit sebelum waktu berbuka puasa.

“Seramai tiga pegawai dan 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang, BBP Batu Arang dan BPP Sungai Buloh bergegas ke lokasi dengan empat jentera.

“Kebakaran membabitkan rumah kelas A tiga tingkat berkeluasan 888 meter persegi dan musnah 80 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, api berjaya dikawal beberapa minit kemudian dan tiada mangsa dilaporkan cedera atau maut dalam kejadian ini.

Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 9:40pm
d