mutakhir

'Cari makan' curi sarang burung

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

SUAMI isteri yang juga ahli kumpulan Ah Lam ditahan polis dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri sarang burung layang-layang atau walit di sekitar Seri Manjung, pagi tadi.

Lelaki tempatan berusia 40 tahun dan isterinya warga Hong Kong berusia 31 tahun itu ditahan di Ayer Tawar pada 8.15 pagi hasil risikan polis dan maklumat orang ramai.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, berikutan tangkapan itu, polis menemui satu bungkusan plastik berisi sarang burung, pelbagai senjata seperti selaras senapang angin, besi buku lima dan sebilah parang selain satu tong gas karbon dioksida.

“Selain itu, polis menemui pelbagai jenis dadah dipercayai methamphetamine seberat 15.71 gram, ketamin (5.32 gram), pil yaba (1.32 gram) dan pil eramin 5 (16.63 gram) yang semuanya dianggarkan bernilai RM5,000.

“Suami isteri itu dipercayai sudah lama terbabit dalam kegiatan mencuri sarang burung dan dadah yang ditemui itu disyaki bukan sahaja untuk kegunaan sendiri, tetapi untuk dijual dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung di Seri Manjung, hari ini.

Muhammad Hanif berkata, hasil semakan mendapati suspek lelaki mempunyai rekod jenayah membabitkan kes Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama manakala wanita warga asing tiada sebarang rekod.

Beliau berkata, pasangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, letupan dan senjata berbahaya 1958 serta masih menyiasat sama ada terdapat anggota lain kumpulan Ah Lam itu.

Menurutnya, polis turut menahan dua individu dalam tangkapan berasingan membabitkan kes sama di sekitar Sitiawan, hari ini.

“Suspek lelaki berusia 36 tahun ditahan pada 11.30 pagi dan seorang lagi lelaki berusia 24 tahun ditahan pada 9.50 pagi dan kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, polis merampas kereta Proton Saga dipercayai milik kumpulan 'kambing walit' dipercayai terbabit dalam kes cubaan mencuri sarang burung walit pada 2 pagi tadi di Teluk Rubiah dan kini usaha mengesan pemilik kenderaan sedang giat dijalankan," katanya yang memaklumkan semua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman esok.

Terdahulu, Muhammad Hanif bersama Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ching Bhoo Khim, ketua jabatan dan ketua balai mengadakan pertemuan bersama lebih 50 pengusaha sarang burung di daerah itu bagi memberi penerangan dan mencari penyelesaian masalah kes kecurian berkenaan.

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 10:06pm
d