mutakhir

Air naik di Alor Pongsu

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

HUJAN lebat berterusan lebih tiga jam bermula kira-kira 10 malam tadi mengakibatkan beberapa kawasan di Alor Pongsu, Bagan Serai mula dinaiki air melebihi paras 0.6 meter.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata, sehingga 1 pagi tadi keadaan hujan masih turun dengan lebat, namun bilangan mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, masih sama.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan jumlah mangsa akan meningkat jika keadaan cuaca buruk itu berterusan.

"Buat masa ini, seramai 30 mangsa daripada enam keluarga di sini sudah mendiami PPS ini dan dijangka angka itu mungkin bertambah jika keadaan hujan lebat berterusan.

"Selain itu, aliran air hujan dari hulu (dari daerah Selama) yang mengalir melalui Sungai Kerian turut memburukkan lagi keadaan.

"Jalan utama yang menghubungkan dua daerah (Kerian dan Selama) masih lagi ditutup untuk semua kenderaan," katanya ketika ditemui sewaktu menziarahi mangsa banjir di sini, awal pagi tadi.

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 8:38am
d