mutakhir

Johan qariah antarabangsa bantu keluarga berniaga

Oleh HM Digital

Alor Gajah: Biarpun sudah menempa nama di persada antarabangsa dengan meraih gelaran johan qariah pada majlis tilawah al-Quran baru-baru ini, Suhailah Zulkifly tetap membantu keluarga mencari rezeki sepanjang Ramadan.

Gelaran itu bukan penghalang kepada Suhailah membantu ibunya, Robiah Ahmad, 55, menghasilkan pelbagai jenis kuih dan memastikan juadah berkenaan menambat hati pelanggan yang melalui jalan pekan Masjid Tanah-Pengkalan Balak, di sini.

Jika tidak mengajar di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kuala Sungai Baru di sini, anak sulung daripada empat beradik berusia 28 tahun itu membantu ibunya di dapur dan kemudian bersama-sama bapa, Zulkifly Johar, 59, di gerai bazar Ramadan Kampung Londang, Masjid Tanah.

“Isnin hingga Jumaat saya mengajar kertas Usuluddin dan Sumber Manusia di KUIM. Cuma pada Sabtu dan Ahad jika saya tiada kelas taranum, saya membantu ibu di dapur dan menjual juadah berbuka.

“Apa ada pada nama jika kita sebagai anak tidak boleh berbakti kepada kedua-dua orang tua kita,” katanya ketika ditemui di gerainya, semalam.

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan al-Quran, sunah dan sosiologi itu sebelumnya menamatkan pengajian tahfiz 30 juzuk al-Quran di sebuah maahad tahfiz di Kuala Kubu Baru, Selangor.

Suhailah muncul johan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-60 pada 11 Mei lalu selepas memperoleh 92.05 markah, manakala Abdullah Fahmi Che Nor muncul johan qari.

Masing-masing membawa pulang kepingan emas bernilai RM70,000, piala iringan dan wang tunai RM40,000.

Sebelum meraih kejayaan itu, Suhailah terlebih dulu mengecapi kemanisan muncul johan tilawah peringkat negeri Melaka pada 2011, 2012, 2015, 2017 dan 2018.

Hanya dalam penyertaan di peringkat kebangsaan pada tahun ini, anak bekas tentera itu untuk muncul johan qariah, sebelum bersaing di peringkat antarabangsa.

“Saya menjangka qariah dari Indonesia bakal menjuarai tilawah itu, tetapi Alhamdulillah, Allah memurahkan rezeki saya selepas saya berjaya membawa empat lagu iaitu bayati, hijaz, nahawand dan rast dalam bacaan selama 10 minit,” katanya.

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 9:11am
d