mutakhir

Amil tepi jalan sejak 14 tahun lalu

Oleh HM Digital

Kuantan: Gelagat dua warga emas yang bertugas sebagai amil bagi mengutip zakat fitrah di tepi jalan utama dekat Taman Seri Inderapura, dekat sini, sejak 14 tahun lalu, sentiasa menarik perhatian pengguna jalan raya berkenaan.

Mat Yahya Aziz, 61, dan Abdul Rahim Omar, 76, memilih menjadikan laluan utama Kuantan-Pekan itu sebagai tempat mengutip zakat bagi memudahkan pengguna jalan raya.

Mat Yahya yang juga pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang berkata, pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) tidak menghalang pemilihan lokasi berkenaan, asalkan tidak mendatangkan bahaya kepada keselamatannya.

“Saya lebih selesa jalankan tugas di sini berbanding duduk di masjid... lagi pun, bolehlah kita permudahkan orang ramai yang kebetulan melalui jalan ini untuk menunaikan zakat fitrah mereka.

“Sebenarnya, ramai yang lebih suka macam ini... bayar zakat secara santai, berbanding ke masjid. Tidak kisahlah di mana pun, yang penting kita bayar zakat fitrah dan permudahkan mereka yang ingin membayarnya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bagi Abdul Rahim pula, lokasi berkenaan memberi lebih peluang kepadanya bertemu dan melihat lebih dekat masyarakat setempat, termasuk yang menjalankan aktiviti di bazar Ramadan berhampiran.

“Kelebihan menerima bayaran (zakat fitrah) di tepi jalan seperti ini adalah dapat mengingatkan mereka yang masih belum membayar... bila mereka nampak kami, secara tidak langsung mereka akan ingat bahawa mereka juga belum bayar lagi.

“Boleh kata ini macam dakwah secara tidak langsung kepada orang ramai,” katanya.

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 9:12am
d