mutakhir

Tiada kes Ebola di Sarawak

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

JABATAN Kesihatan Sarawak menafikan laporan tular di laman sosial beberapa hari lalu mengenai seorang lelaki di Sibu yang diserang wabak Ebola.

Pengarahnya, Dr Jamilah Hashim berkata, lelaki berusia 47 tahun itu dimasukkan ke Hospital Sibu , Ahad lalu selepas pengsan di sebuah pasar raya di Sibu, jam 3.30, kelmarin.

Menurutnya, lelaki yang berasal dari Kapit itu kini menerima rawatan di Hospital Sibu kerana masih tidak sedarkan diri dan bergantung sepenuhnya dengan alat pernafasan sejak dimasukkan.

"Tanda klinikal bukan simptom wabak Ebola serta tempoh mula gejala yang melepasi tempoh pengeraman virus itu mengukuhkan lagi penyakit yang dialami pesakit adalah bukan disebabkan Ebola.

"Pasukan perubatan Hospital Sibu masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan punca lelaki terbabit pengsan dan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Jamilah berkata, hasil semakan mendapati, pesakit berkenaan bekerja di Republik Demokratik Congo, Afrika dan pulang bercuti sejak 29 April lalu.

Katanya, namun semakan juga mengesahkan tempat kerjanya adalah bukan dari kawasan wabak Ebola.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan Hospital Sibu dan Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu untuk mempertingkatkan tahap berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan kes berkenaan.

Tambahnya, dalam masa yang sama, orang ramai yang pulang bercuti terutama dari negara-negara termasuk Afrika dan sekiranya sakit perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di hospital atau klinik berdekatan.

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 11:21am
d