mutakhir

Mat Cekah kena cekup

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

POLIS menahan lelaki dikenali sebagai Mat Cekah yang dipercayai terbabit kes pukul seorang mekanik menggunakan pasu dan batu di Jalan Losong, di Kuala Terengganu, pada 9 Mei lalu.

Suspek berusia 56 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, jam 11.50 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, suspek mengambil keputusan menyerah diri selepas mengetahui dia diburu polis.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku terbabit dalam kejadian pukul yang menyebabkan seorang lelaki berusia 51 tahun cedera di kepala dan patah tulang rusuk kiri.

"Ketika ini, kita sedang mengesan dua lagi rakannya berusia 40-an dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua lagi suspek diharap dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Mat Cekah kini direman selama enam hari hinggga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya," katanya.

Portal NSTP sebelum ini melaporkan tiga lelaki memukul seorang mekanik menggunakan pasu dan batu dalam kejadian di bengkel kereta di Jalan Losong kerana dipercayai tidak berpuas hati dengan kos baik pulih kenderaan RM500 dikenakan mangsa.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa yang cedera di kepala dan patah tulang rusuk kiri turut ditendang di muka dan kepala selain turut diikat menggunakan dawai besi.

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 1:59pm
d