mutakhir

Tiada potongan tambahan gaji suami - TPM

Oleh BERNAMA

CADANGAN mewujudkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada golongan suri rumah tidak membabitkan caruman tambahan dipotong daripada gaji suami, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebaliknya berkata, hanya dua peratus daripada 11 peratus gaji suami yang dicarumkan kepada KWSP dicadang dipotong untuk tujuan itu.

“Kita tidak ambil tambahan, hanya ambil daripada 11 peratus. Bagilah pengiktirafan kepada wanita,” katanya selepas membuat lawatan ke Rumah Ehsan untuk warga emas di Kuala Kubu Bharu.

Dr Wan Azizah berkata, kementerian akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan pada Khamis bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan pemotongan caruman itu.

Antara perkara yang akan diberi perhatian ialah soal suami yang mempunyai isteri lebih daripada satu.

Caruman KWSP kepada golongan suri rumah adalah antara janji Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu.

Selain caruman daripada pendapatan suami, cadangan itu turut membabitkan sumbangan RM50 daripada kerajaan.

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 2:56pm
d