mutakhir

Singgah Sahur tiga dalam satu [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menganjurkan program Konvoi Singgah Sahur tiga dalam satu membabitkan 30 pegawai dan anggota polis, 3 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pasukan konvoi bergerak ke beberapa lokasi iaitu Balai Trafik Klang Selatan, Balai Polis Pandamaran, Balai Polis Pelabuhan Klang selain ke satu sekatan jalan raya di Bukit Tinggi.

“Objektif kita adalah menghargai anggota yang bertugas syif pagi selain memupuk semangat kerjasama dan kerja berpasukan dalam kalangan anggota IPD Klang Selatan.

“Di samping itu juga, kehadiran konvoi di pentadbiran Klang Selatan ini dapat membantu dalam aspek pencegahan jenayah dengan kehadiran kereta polis di kawasan ini.

“Kita juga mengambil kesempatan mengedar juadah bersahur kepada petugas pagi ini dan terima kasih kepada kumpulan NSTP atas sumbangan 100 #HMKotakRezeki 2018 untuk program singgah sahur kita tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lokasi terakhir konvoi iaitu di Balai Polis Pelabuhan Klang.

Turut hadir Timbalannya Superintendan Rahmat Ariffin; Pengerusi PERKEP, Noorsyamsinar Kasim serta Ketua Biro NSTP Shah Alam, Rafidah Mat Ruzki.

Shamsul Amar berkata, program konvoi yang berakhir pada 4.30 pagi itu diteruskan dengan sahur bersama pegawai dan anggota yang menyertai konvoi di lokasi terakhir di Balai Polis Pelabuhan Klang.

“Semua 30 pegawai dan anggota konvoi membabitkan semua cawangan dan bahagian termasuk petugas trafik yang mengawal lalu lintas dan pemandu yang bawa kenderaan,” katanya.

Sementara itu katanya, menjelang Aidilfitri, penugasan anggota seperti biasa dan akan bertugas mengikut syif yang diaturkan.

“Dari segi anggota bertugas, kita mengambil kira 40 peratus dari keseluruhan dan dijangka penugasan berjalan lancar pada musim perayaan ini.

“Kepada penduduk yang akan pulang berhari raya, laporkan kepada polis bahawa rumah akan ditinggalkan dan rondaan akan dilakukan di rumah itu.

“Operasi Op Selamat juga akan dijalankan sepanjang kempen keselamatan jalan raya untuk hari raya ini, jadi kepada yang pulang patuhi peraturan jalan raya, semoga selamat sampai ke destinasi,” katanya.

Difahamkan, keanggotaan IPD Klang Selatan membabitkan 840 pegawai dan anggota dari 10 bahagian dan empat balai polis utama Klang Selatan iaitu Klang, Pandamaran, Pelabuhan Klang serta Pulau Ketam.

Foto Mohd Asri Saifudin Mamat

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 5:59pm
d