mutakhir

'Nak berhutang, belasah orang pula'

Oleh Ruwaida Md Zain

AKIBAT enggan membenarkan pelanggan berhutang, bapa saudara kepada pemilik restoran di Bukit Tinggi, Klang dibelasah sekumpulan pemuda, Ahad lalu.

Dalam kejadian 2.50 pagi Ahad itu, mangsa dipercayai dibelasah dengan menggunakan kerusi dan topi keledar selepas dikatakan enggan melayan permintaan salah seorang daripada individu berkenaan yang mahu berhutang daripada membayar makanan dinikmati sebelum itu.

Perbuatan mereka dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan yang kemudiannya menjadi viral di Facebook.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, polis menangkap seorang suspek dan masih memburu dua lagi suspek yang terbabit dalam pergaduhan itu.

“Identiti dua lagi suspek sudah dikenal pasti dan mereka dipercayai sudah melarikan diri.

“Polis masih mengesan dua suspek berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamsul Amar berkata, pergaduhan itu membabitkan bapa saudara pengadu dengan enam pelanggan lelaki yang tidak dikenali.

“Salah seorang suspek hendak berhutang selepas makan, tetapi bapa saudara pengadu tidak benarkan. Suspek marah lalu bertindak membaling topi keledar dan kerusi plastik kedai ke arah bapa saudara pengadu.

“Dua lagi suspek turut memukul kepala bapa saudara pengadu, malah suspek turut memecahkan kaca peti tempat simpanan ayam dalam restoran sebelum beredar,” katanya.

Beliau berkata, bapa saudara pengadu hanya cedera ringan dan sakit di beberapa bahagian badan sahaja.

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 9:15pm
d