mutakhir

'Nak kerbau guling, kena ambik nombor giliran'

Oleh Syaherah Mustafa

PENIAGA kuih kerbau guling terpaksa menggunakan sistem nombor giliran bermula hari ini berikutan kehadiran jumlah pengunjung luar biasa ke gerainya di depan Stesen Minyak Caltex, Rantau Panjang, sejak minggu lalu.

Kuih Kerbau guling mula tular selepas mendapat liputan daripada NSTP pada 21 Mei lalu sehingga menjadi buah mulut masyarakat.

Peniaga, Wan Suriana Wan Ali, 35, berkata inisiatif itu terpaksa diambil kerana pengunjung yang terlalu ramai bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah luar Kelantan.

Katanya, sebanyak 200 nombor diedarkan hari ini, namun masih tidak mencukupi berikutan jumlah pelanggan mencecah 500 orang yang mula menunggu sejak 12 tengah hari.

“Kami terpaksa mengubah lokasi gerai ke kawasan lebih luas untuk mengelakkan gangguan lalu lintas berikutan kehadiran pelanggan terlalu ramai sehingga terpaksa menggunakan sistem nombor.

“Kuih ini habis dijual dalam masa sejam sahaja walaupun kami sudah menambah jumlahnya dua kali ganda daripada biasa untuk menampung permintaan pelanggan.

“Pada masa sama, kami terpaksa menghadkan pembelian RM15 seorang bagi memastikan setiap pengunjung dapat merasai kerbau guling.

“Saya menghargai pembeli yang sanggup berpanas dan berhujan untuk mendapatkan kuih kerbau guling dan ingin memohon maaf jika ada yang tidak sempat mendapatkannya kerana setiap hari permintaan melebihi kuih kami sediakan,” katanya ketika ditemui.

Wan Suriana turut merayu kepada pengunjung yang datang supaya menjaga tingkah laku dan bersabar untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sehingga terpaksa mengupah beberapa orang menjaga barisan.

“Kami sekeluarga bersyukur kerana kuih kami mendapat permintaan ramai selain mendapat pujian kerana rasa yang enak dan menyelerakan.

“Setakat hari ini kami masih belum merancang untuk membuka cawangan lain kerana terlalu sibuk memenuhi permintaan di bulan Ramadan,” katanya.

Berita berkaitan

'Apa itu kuih Kerbau Guling? [METROTV]'

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 10:12pm
d