mutakhir

Hilang RM209b: Dr M minta Abdul Rahman bagi bukti

Oleh Syed Umar Ariff; Fahmy Azril Rosli dan Mohd Hasbi Sidek

“DIA cakap mulut sahaja, bolehlah dia tunjuk bukti,” tegas Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu Ahli Unit Komunikasi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengemukakan bukti berhubung dakwaan bahawa Malaysia bakal kehilangan kira-kira RM209 bilion pendapatan negara kasar (PNK) akibat pembatalan projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR).

“Apabila kita cakap kerajaan ada hutang RM1 trillion, kita ada bukti dan dokumen untuk sokongan kenyataan berkenaan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis berbuka puasa bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebentar tadi.

Perdana Menteri hanya memberi respons ringkas berhubung kenyataan Abdul Rahman itu.

Kelmarin, Dr Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan membuat keputusan muktamad untuk membatalkan projek HSR antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Susulan pembatalan itu, Dr Mahathir berkata kerajaan berkemungkinan perlu membayar pampasan sebanyak RM500 juta.

Perdana Menteri berkata, pampasan itu perlu dibayar sekiranya Malaysia menarik diri daripada meneruskan projek terbabit.

“Ia adalah keputusan muktamad tetapi akan mengambil sedikit masa, kerana kita mempunyai perjanjian dengan Singapura.

“Ia hanya satu trek yang pendek. Ia akan menjimatkan masa orang hanya satu jam sahaja dengan mengambil HSR.

“Bagaimanapun saya masih belum dapat mengesahkan sama ada ia adalah dalam ringgit, Dolar Singapura atau Dolar Amerika (Syarikat),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor, kelmarin.

Dr Mahathir juga berkata projek HSR tidak memberi manfaat selain tidak menguntungkan.

Menurut Dr Mahathir, projek itu membabitkan kos yang besar, justeru kata beliau, perbincangan lanjut perlu diadakan dengan Singapura.

“Kita perlu melihat perjanjian asal dan ketika ini, saya belum melihatnya, katanya.

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 10:32pm
d