mutakhir

CBI siasat Tony, 6 individu lain

Oleh Mohd Hasbi Sidek

BIRO Penyiasatan Pusat (CBI) di New Delhi, India, memfailkan kes terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes, semalam kerana didapati melanggar peraturan untuk mendapatkan lesen penerbangan antarabangsa di negara berkenaan.

Memetik laporan Khaleej Times, CBI mendaftarkan kes terhadap Tony atau nama sebenarnya Anthony Francis Fernandes dan enam individu lain bagi dua kesalahan termasuk pelanggaran peraturan Lembaga Penggalakan Pelaburan Asing (FIPB).

Enam individu lain disiasat kerana didakwa melanggar norma pengarah syarikat penerbangan untuk mendapatkan lesen bagi operasi antarabangsa.

Laporan itu memaklumkan, Laporan Maklumat Pertama (FIR) disediakan pihak polis menamakan pemilik perkhidmatan makanan, Sunil Kapoor; Pengarah AirAsia, R Venkatraman; perunding penerbangan, Deepak Talwar; Pengarah SNR Trading, Rejendra Dubey, yang berpangkalan di Singapura dan penjawat awam yang tidak dikenali terbabit dalam siasatan.

“Pelanggaran peraturan oleh pengarah syarikat penerbangan mengikut peraturan 5/20 di sektor penerbangan untuk mendapatkan lesen bagi operasi antarabangsa apabila sesebuah perusahaan sepatutnya memerlukan pengalaman selama lima tahun dan 20 pesawat sebelum layak mendapat lesen,” kata pegawai di India.

Difahamkan, CBI sedang melakukan siasatan di enam lokasi di Delhi, Mumbai dan Bengaluru, berhubung kes itu.

“Tony Fernandes disyaki melobi menerusi penjawat awam untuk mendapatkan kelonggaran mengikut peraturan 5/20 sedia ada,” katanya.

Sementara itu, usaha wartawan untuk mendapatkan ulasan daripada Tony, semalam gagal selepas beliau gagal dihubungi.

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 11:34pm
d