mutakhir

Pokok tumbang hempap 4 kereta

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

HUJAN lebat serta ribut menyebabkan pokok tumbang menghempap empat kereta selain menghalang laluan di Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields, Kuala Lumpur, hari ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.41 petang.

“Lima anggota dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengalihkan pokok berkenaan.

“Sebaik tiba, kami mendapati pokok tumbang dan menghempap empat kereta diletakkan berhampiran kawasan terbabit.

“Malah, kejadian itu menyebabkan laluan di lokasi terbabit terhalang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa beberapa jam untuk memotong pokok berkenaan.

Menurutnya, ketika membuat kerja pemotongan, anggota bertugas menemui seekor burung tersangkut pada dahan pokok berkenaan.

“Burung itu kemudian dipindahkan ke kawasan selamat.

“Operasi ini dibantu oleh Skuad Penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan orang awam yang berada di tempat kejadian,” katanya.

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 11:47pm
d