mutakhir

OKU terjatuh ke tasik loji

Oleh Fardy Bungga

LELAKI Orang Kurang Upaya (OKU) dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tasik loji Jabatan Pengairan dan Saliran, Likas, Kota Kinabalu, petang hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, mangsa Sharif Zul Basil Sharif Banin, 39, dikatakan pergi ke lokasi kejadian untuk memukat ikan bersama dua rakannya.

Bagaimanapun, mangsa yang berdiri di tebing dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam tasik loji berkenaan sebelum hilang dari pandangan.

Rakannya dikatakan cuba mencari mangsa, namun usaha mereka gagal dan hanya menemui selipar mangsa terapung sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan segera.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.15 petang dan mengerahkan sebuah jentera serta tujuh anggota termasuk pegawai ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, operasi menyelamat membabitkan pencarian di permukaan air hingga sedalam dua meter.

“Tindakan awal pasukan bomba adalah membuat separa selaman di sekitar kawasan tasik loji berkenaan untuk mencari mangsa.

“Bagaimanapun, setakat 6.30 petang tadi, mangsa masih gagal ditemui,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, maklumat awal mangsa adalah seorang kurang upaya secara fizikal (lumpuh separuh badan) berdasarkan kad Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang ditemui dan bekerja di pusat pembinaan Pacific City.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 12:59am
d