mutakhir

Bakar ayam dalam tin

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: Idea kreatif seorang pemuda untuk berniaga ayam bakar dalam tin memberi hasil lumayan selepas mendapat sambutan luar biasa apabila 80 ekor ayam terjual sehari.

Mohd Aisamuddin Razak, 31, dari Kampung Tok Jiring di sini, berkata, dia tidak menyangka ideanya menjual ayam panggang dalam tin diterima ramai menyebabkannya ‘tak menang tangan’ melayan permintaan pelanggan.

“Idea membakar ayam dalam tin tercetus daripada pengalaman sendiri ketika waktu kecil sebelum dipraktikkan dalam perniagaan bagi memberikan kelainan kepada pelanggan.

“Perniagaan ayam bakar dalam tin ini bukan baru, tetapi sudah dua kali Ramadan saya buat di Jalan Gong Badak di sini.

“Saya mempunyai pelanggan tetap yang sememangnya menanti-nantikan hidangan istimewa ini.

“Keistimewaan ayam dalam tin berbanding ayam yang dibakar melalui kaedah lain ialah ia lebih lembut dan aromanya lebih menyelerakan,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Aisamuddin atau lebih mesra disapa Budin Jambol berkata, pada Ramadan tahun lalu, dia hanya menyediakan enam tin dengan jumlah ayam sebanyak 20 ekor pada hari pertama kerana bimbang kurang mendapat sambutan.

“Kali ini saya sediakan 80 ayam dengan 24 tin sekali gus kerana sudah menjangkakan menerima sambutan hangat sejak hari pertama Ramadan lagi.

“Tahun lalu, saya mampu jual sehingga 90 ekor sehari namun kali ini lebih bersemangat kerana pada hari pertama saja 80 ekor berjaya dijual dan saya yakin dapat jual 100 ekor sehari selepas ini,” katanya.

Menurutnya, memandangkan kerja memproses dan menyiapkan resepi ayam dalam tin itu agak cerewet, dia menggunakan tenaga kerja seramai lapan orang iaitu empat bagi menguruskan proses menyediakan ayam termasuk memerap dengan rempah manakala empat lagi untuk membakar ayam di gerai.

“Saya hanya menggunakan barangan terpakai untuk menjalankan perniagaan ini termasuk tin digunakan untuk memanggang ayam.

Menurutnya, ayam bakar itu dijual pada harga RM24 seekor dan pelanggan diberi pilihan sama ada ingin membeli seekor atau separuh.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 9:45am
d