mutakhir

Ikan kebun sawit

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Ketika ramai sugul dan gelisah menghadapi banjir, dua penduduk mengambil kesempatan mencari rezeki tambahan dengan menjaring ikan di kebun sawit yang dinaiki air.

Muhamad Amal Mohd Hashim, 24, dan rakannya, Sulaiman Jamaludin, 22, yang juga mangsa banjir di Changkat Lobak, Alor Pongsu di sini, memasang jaring di kebun sawit yang ditenggelami air melebihi satu meter bagi mencari ikan untuk dijual.

Muhamad Amal berkata, air di Sungai Kerian yang naik sejak tiga hari lalu mengakibatkan ikan yang kebiasaannya berada di dalam terusan terlepas dan bergerak bebas ke kawasan penempatan dan kebun penduduk.

“Saya bersama rakan memasang tiga jaring pada waktu petang dan memeriksanya pada waktu pagi.

“Pelbagai jenis ikan seperti sepat, haruan dan puyu diperoleh. Semua hasil tangkapan itu kami jual kepada penduduk,” katanya semalam.

Dia berkata, selama tiga hari memasang jaring, dia dan rakan memperoleh hampir 10 kilogram (kg) ikan yang kebanyakannya dijual kepada penduduk dengan harga RM15 hingga RM25 sekilogram.

Katanya, banjir sudah biasa bagi penduduk, justeru mereka memanfaatkan bencana alam itu untuk mencari pendapatan tambahan.

Dalam pada itu, banjir di Alor Pongsu tidak menunjukkan tanda surut apabila tiga lagi keluarga mula dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak jam 11 pagi semalam.

Jumlah terkini mangsa banjir ialah 38 orang membabitkan sembilan keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari meluangkan masa menziarahi mangsa banjir dan menyampaikan bantuan kepada mereka.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 10:20am
d