mutakhir

Lantik MB Selangor 5 Syawal ini

Oleh Rafidah Mat Ruzki

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Shah sudah memberi perkenan untuk Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu diadakan pada 19 Jun ini, bersamaan 5 Syawal nanti.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, dalam satu kenyataan media hari ini berkata, istiadat selepas Aidilfitri itu akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang.

“Sehubungan dengan Istiadat Pelantikan yang bakal berlangsung ini, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan turut melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor berkuatkuasa pada tarikh yang sama iaitu 19 Jun 2018,” katanya.

Pada 21 Mei lalu, Munir, dalam satu kenyataan, memaklumkan Mohamed Azmin akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar sebaik saja baginda berkenan melantik individu baharu ke jawatan berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, Mohamed Azmin akan kekal menjawat jawatan itu buat sementara waktu sehingga tempoh peralihan kuasa dapat dijalankan dengan lancar dan teratur.

Katanya, Mohamed Azmin juga perlu mengemukakan senarai calon Menteri Besar yang baharu untuk penelitian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum lantikan dilaksanakan.

Pengumuman itu susulan pertemuan Mohamed Azmin dengan Sultan Selangor selama dua jam pada 19 Mei lalu bagi memaklumkan mengenai perlantikannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam Kabinet Pakatan Harapan (PH).

Ketika ini, masih belum dipastikan siapa wakil rakyat yang bakal menggantikan Mohamed Azmin walaupun beberapa nama disebut-sebut memegang jawatan berkenaan.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 10:53am
d