mutakhir

Polis rekod keterangan Najib

Oleh Nor Azizah Mokhtar

POLIS Daerah Dang Wangi, hari ini mengambil keterangan Datuk Seri Najib Razak berhubung tindakan polis merampas wang tunai dan barangan berharga ahli keluarganya susulan pemeriksaan ke atas kediaman di Pavilion Residences, Kuala Lumpur, 18 Mei lalu.

Dua pegawai dan seorang anggota polis dilihat memasuki kediaman bekas Perdana Menteri itu di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur, 11.40 pagi tadi.

Selepas hampir dua jam, mereka meninggalkan kediaman terbabit pada 1.40 tengah hari.

Sumber memberitahu, polis sepatutnya merekod keterangan Najib semalam tetapi urusan itu terpaksa ditunda hari ini; bagaimanapun, tidak dinyatakan sebabnya.

"Pihak polis merekodkan keterangan Najib susulan laporan yang dibuat oleh beliau berhubung tindakan polis memeriksa dan merampas pelbagai barangan di kediaman keluarganya di Pavilion Residences tempoh hari.

"Beliau (Najib) buat laporan polis ketika beliau pulang ke Pekan (Pahang) tempoh hari dan oleh kerana kediaman itu berada di ibu negara, maka kes itu dipindahkan ke Polis Dang Wangi," kata sumber.

Menurut sumber, peguam mewakili Najib turut hadir ketika polis merekod keterangannya tadi.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Semalam, sepasukan pegawai dan anggota polis merekod keterangan anak perempuan Najib, Nooryana Najwa atau lebih dikenali sebagai Gina di kediaman ibu bapanya itu.

Gina membuat laporan polis, malam kelmarin selepas tidak berpuashati dengan tindakan polis melakukan pemeriksaan di kediamannya dan merampas beberapa barangan yang didakwa sebagai hadiah perkahwinannya.

Pada 17 Mei lalu, polis melakukan pemeriksaan ke atas tiga unit kediaman di Pavilion Residences yang ada kaitan dengan Najib.

Pihak polis mengesahkan dua daripada tiga unit kediaman yang diperiksa itu adalah milik anak Najib iaitu Gina dan Mohd Ashman manakala satu unit lagi dimiliki individu bergelar Tan Sri.

Menerusi serbuan ke atas sebuah unit kediaman atas nama Tan Sri terbabit, polis merampas 284 kotak dan 72 bagasi berisi wang tunai serta pelbagai jenis barangan berharga antaranya beg tangan, kasut, jam mewah dan barang kemas.

Dalam pemeriksaan di kediaman Gina pula, polis merampas 150 beg tangan berjenama dan beberapa unit jam.

Pemeriksaan dan rampasan itu adalah susulan siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Antara barangan peribadi Ashman yang dirampas ialah jam tangan dan komputer riba, selain pakaian, kasut serta pakaian bayi milik Gina.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 3:02pm
d