mutakhir

Tangguh hukuman pulak...

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

SURI rumah yang sedang menjalani hukuman penjara lapan tahun selepas mengaku bersalah mencederakan pembantu rumahnya dua tahun lalu, dibebaskan dengan jaminan RM25,000 dengan dua penjamin oleh Mahkamah Rayuan, hari ini.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Ahmadi Asnawi sebulat suara membenarkan permohonan Rozita Mohamad Ali, 44, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 29 Mac lalu.

Turut bersidang, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim.

Rozita diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, memohon hukuman ditangguhkan sehingga Mahkamah Rayuan mendengar rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan hukuman bon berkelakuan baik selama lima tahun yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 15 Mac lalu.

Ahmadi berkata, mahkamah berpendapat penggantungan pelaksanaan hukuman harus dibenarkan dan Rozita dibebaskan dengan bon berjumlah RM25,000, selain perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah.

Rozita turut diperintahkan melapor diri di balai polis berdekatan tempat tinggalnya setiap dua minggu.

Mohamed Haniff ketika ditemui selepas prosiding berkata, anak guamnya memohon penangguhan pelaksanaan hukuman kerana perlu menjalani rawatan susulan bagi sakit belakang.

Beliau berkata, mahkamah belum menetapkan tarikh pendengaran rayuan dan pihaknya belum menerima alasan penghakiman daripada Mahkamah Tinggi.

Rozita sudah menjalani hukuman itu selama dua bulan di Penjara Kajang.

Terdahulu, Mohamed Haniff memberitahu Mahkamah Rayuan, pihaknya merayu terhadap semakan dan hukuman berdasarkan hujahan sama ada Mahkamah Tinggi membuat keputusan tepat apabila membuat semakan terhadap kes itu sedangkan rayuan pendakwaan masih berjalan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurulhuda Nur’Aini Mohd Noor berkata, Seksyen 327 Kanun Acara Jenayah membenarkan mahkamah membuat semakan walaupun rayuan masih berjalan.

Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun ke atas Rozita, dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Rozita mengaku salah mengikut tuduhan pindaan, menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan pisau berhulu biru, mop, payung, rod besi, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 29 Mac mengetepikan hukuman itu dan menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara selepas ia membuat semakan dan menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman.

Kes dera itu menjadi tular selepas Rozita disalah anggap sebagai seorang datin.

Pada prosiding di Mahkamah Tinggi sebelum ini, dia mengesahkan tidak mempunyai gelaran termasuk Datin seperti dilaporkan.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 3:52pm
d