mutakhir

Pencarian MH370 dihentikan

Oleh Manirajan Ramasamy; Irwan Shafrizan Ismail dan Mohd Nasaruddin Parzi

KERAJAAN memutuskan pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi dihentikan memandangkan ia sudah memakan tempoh carian yang panjang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, sedia untuk menimbangkan semula usaha pencarian jika terdapat bukti baharu yang konsisten.

“Sampai masa kita perlu hentikan juga pencarian. Misi pencarian dijalankan merangkumi kawasan yang begitu luas tapi sehingga kini tidak menemui sebarang bukti.

“Kita sudah sampai ke tahap di mana kita tidak boleh meneruskan untuk mencari sesuatu yang kita tak boleh temui. Jika ada bukti baharu, kita akan pertimbangkan untuk meneruskan pencarian.

“Tetapi buat masa ini, kita terpaksa menghentikannya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, semua anggota Kebinet.

Dr Mahathir berkata, keputusan dibuat ini cukup sukar, malah kerajaan juga memahami perasaan semua waris mangsa yang terbabit.

“Ia keputusan yang dikesali, dan kita memahami perasaan ahli keluarga. Tetapi kita tidak boleh teruskan mencari selama-lamanya,” katanya.

Semalam, media melaporkan pencarian MH370 oleh syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity, berakhir.

Ocean Infinity dalam satu kenyataan memaklumkan, syarikat itu menjalankan pencarian dan mengumpul data berkualiti tinggi meliputi kawasan seluas lebih 112,000 kilometer persegi dan berjaya mengatasi keadaan dan kawasan dasar laut yang mencabar.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Pada Januari tahun ini, Malaysia menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity untuk menyambung semula pencarian pesawat malang itu.

Misi pencarian oleh Ocean Infinity di selatan Lautan Hindi adalah berdasarkan terma “no cure, no fee,” yang bermakna bayaran hanya akan dibuat apabila serpihan pesawat yang hilang itu ditemukan dan disahkan oleh pihak ketiga.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 4:25pm
d