mutakhir

Kaki lelaki dipotong akibat dibelasah curi telefon [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

HANYA kerana didakwa mencuri telefon pintar, seorang lelaki warga Indonesia dibelasah sehingga kaki kirinya terpaksa dipotong.

Demikian hujah peguam Ishak Kari yang memohon penangguhan hukuman ke atas tertuduh Jaya Budiman, 43, di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Ishak berkata, tindakan sendiri pengadu Tan Eng Hui, 32, bersama rakannya adalah tidak wajar kerana membelasah tertuduh sehingga terpaksa dirawat di Hospital Melaka sehingga kaki kirinya terpaksa dipotong.

Katanya, penangguhan hukuman itu perlu bagi membolehkan anak guamnya membuat laporan polis mengenai tindakan pengadu, selain menghubungi pihak kedutaan Indonesia.

Terdahulu, Jaya Budiman yang berasal dari Batam, Indonesia mengaku bersalah terhadap pertuduhan di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berpakaian baju hospital berwarna hijau didakwa mencuri telefon jenama Oppo RS9 Plus milik Eng Hui bernilai RM1,600 di Jonker Walk pada 8 malam, 11 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria yang melakukan pendakwaan mencadangkan tertuduh tidak dibenarkan jaminan sementara menunggu sebutan semula kes.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Julai depan untuk serahan dokumen dan memerintahkan tertuduh dibawa ke balai polis berdekatan, sebelum dihantar ke Penjara Sungai Udang.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 5:00pm
d