mutakhir

Pemandu lori gagal seludup mercun

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menahan seorang lelaki yang menyeludup mercun ke negara ini selepas dikejar sejauh 50 kilometer, kelmarin.

Dalam kejadian pada 12.30 tengah malam, suspek, 31, ditahan oleh anggota penguat kuasa JKDM di tebing Sungai Kuala Nal, Kuala Krai selepas lori dipandunya tersekat dalam pasir.

Pengarah JDKM negeri Datuk Mohd Nasir Yusoff berkata, bertindak atas maklumat pihaknya mengesan lori terbabit di persimpangan lampu isyarat Jalan Machang-Kuala Krai sebelum mengarahkan pemandu memberhentikan lori yang dipandunya.

“Namun pemandu lori terbabit terus memecut kenderaan yang dinaiki, selain turut menghimpit anggota penguat kuasa yang cuba memotong lori yang dipandunya.

“Selepas mengejar selama satu jam dan sejauh 50 kilometer, kami menahan pemandu lori yang cuba melarikan diri ke arah sungai berdekatan sebaik kenderaan yang dinaiki tidak dapat bergerak,” katanya ketika sidang media di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Kastam Pengkalan Kubor di Tumpat.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap lori terbabit membawa kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api.

Katanya, pihaknya merampas 279 kotak pelbagai saiz yang mengandungi mercun dan bunga api dipercayai untuk pasaran Lembah Klang.

“Berat keseluruhan rampasan itu dianggarkan 7,558 kilogram (kg) bernilai RM151,160 dengan cukai sebanyak RM98,254.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda jumlah barangan terbabit dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 6:18pm
d