mutakhir

Burger mini inti bilis laris semacam

Oleh HM Digital

Kuantan: Burger mini atau turut dikenali dengan nama burger Malaysia antara juadah berbuka puasa yang mendapat permintaan tinggi di bazar Ramadan.

Kuih berintikan sambal bilis istimewa dan hirisan timun mempunyai peminatnya tersendiri apabila gerai Mohd Dzulfazli Mohd Bakri, 32, dan ibunya, Zumalati Mustafa, 57, di Bazar Ramadan Taman Kerang di sini, sentiasa menjadi tumpuan ramai.

Mohd Dzulfazli berkata, setiap hari dia dan ibunya menyediakan 3,500 biji kuih termasuk burger mini, karipap kentang dan sardin, temosa serta kek coklat mini.

“Bagaimanapun dalam banyak-banyak kuih yang dijual, burger mini digoreng panas menjadi pilihan orang ramai selain karipap.

“Malah orang ramai sanggup menunggu burger mini digoreng. Mereka adalah pelanggan tetap yang menggemari burger ini,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Zumalati berkata, dia dan keluarga berniaga sejak 20 tahun lalu dan keistimewaan kuihnya ialah cara penyediaannya.

“Saya tidak menggoreng di rumahnya sebaliknya dijual panas-panas kepada pelanggan. Saya buat dan terus jual sebaik siap dimasak, mungkin itu yang menyebabkan pelanggan suka.

“Sebenarnya saya tiada resepi rahsia dan sama seperti penjual lain, namun pelanggan suka sebab saya menjualnya panas-panas,” katanya.

Katanya lagi, kebersihan adalah aspek penting dalam penyediaan makanan selain keenakan kuih yang menarik pelanggan.

Disiarkan pada: May 31, 2018 @ 8:57am
d