mutakhir

Rugi hampir setengah juta

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

LELAKI kerugian RM466,000 disyaki ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai polis dan memaklumkan kononnya maklumat peribadi mangsa digunakan penjenayah dalam kes berkaitan dadah.

Pada mulanya, mangsa dikenali sebagai Chan dikatakan diberitahu ada tunggakan hutang dengan sebuah syarikat perbankan sebelum bercakap dengan seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Sarjan Wong.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, mangsa mendakwa lelaki itu kemudian memaklumkan bahawa maklumat peribadinya digunakan sindiket dadah untuk kegiatan jual beli bahan terlarang itu, justeru dia boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Berikutan itu, beliau berkata, mangsa mendakwa diminta memindahkan wang ke dalam satu akaun lain kononnya bagi memudahkan polis menyiasat kerana akaun peribadi dia dikhuatiri turut digunakan sindiket untuk menyimpan wang hasil jual beli dadah.

“Akibat takut, mangsa dikatakan terus mempercayai kata-kata lelaki berkenaan sebelum membuat pindahan wang ke dalam tiga akaun berbeza diberikan oleh sindiket menyamar polis itu.

“Mangsa dipercayai membuat transaksi pindahan wang secara berperingkat dari 16 hingga 21 Mei lalu membabitkan jumlah keseluruhan RM466,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Azlin berkata, mangsa mendakwa sekali lagi dihubungi ‘Sarjan Wong’, 21 Mei lalu, yang memaklumkan akan memulangkan wang berkenaan sebaik siasatan selesai pada hari sama.

“Bagaimanapun, selepas empat jam menunggu dan gagal menghubungi semula lelaki dikatakan Sarjan Wong itu, mangsa mengesyaki ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya,” katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2018 @ 3:34pm
d