mutakhir

Gadai tubuh demi syabu [METROTV]

Oleh Farah Suhaidah Othman

SEORANG wanita sanggup menggadai tubuhnya kepada ramai teman lelaki hingga mengandung dan melahirkan anak luar nikah asalkan keperluan dadah jenis syabu untuk dirinya dapat dipenuhi.

Perbuatan wanita berusia 24 tahun bagaimanapun terbongkar selepas dia bersama teman lelakinya berusia 40-an ditahan dalam bilik di rumah di Bercham, Ipoh, awal pagi hari ini.

Mereka antara 10 individu ditahan dalam serbuan membabitkan 12 pegawai dan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak di beberapa kawasan termasuk Manjoi, Kampung Kledang, Bandar Baru Putra dan Taman Tawas Mewah, bermula 9.30 malam hingga 2 pagi hari ini.

Pengarah AADK negeri, Khairul Anwar Ahmad berkata, siasatan awal mendapati wanita berkenaan mengandung enam bulan anak luar nikah keduanya.

Beliau berkata, wanita itu tinggal bersama teman lelakinya selepas lelaki terbabit selesai menjalani hukuman selama tiga tahun bersabit kes jenayah mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Katanya, wanita yang berasal dari Baling, Kedah itu sudah lima tahun menetap di bandar raya Ipoh dan tidak mempunyai pekerjaan tetap selain pernah dipenjara selama enam bulan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Berdasarkan keterangan, suspek wanita berkenaan hanya bergantung hidup kepada teman lelaki tanpa mengira bangsa asalkan kemahuan melayan syabu dipenuhi walaupun terpaksa menggadai maruah diri.

“Wanita berkenaan sebelum ini pernah mengandung anak tidak sah taraf dengan lelaki lain hingga melahirkan anak perempuan yang kini berusia tiga tahun dan tinggal bersama ibu wanita itu di Baling,” katanya pada sidang media di pejabat AADK Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Ipoh, hari ini.

Khairul Anwar berkata, ujian saringan air kencing mendapati wanita itu positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, lelaki yang baharu sahaja keluar dari Penjara Pulau Pinang dan dikenakan perintah pengawasan polis di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sejak 7 Februari tahun ini hingga 6 Februari 2019 serta kakinya dipasang alat pengesan, pula positif dadah jenis morfin.

Katanya, mereka diserahkan kepada pihak polis pada 9.30 pagi untuk tindakan lanjut.

“Dalam operasi lima jam itu, kami turut menahan lapan yang lain berusia antara 19 hingga 50 tahun termasuk seorang wanita.

“Tujuh daripada mereka positif dadah jenis morfin manakala seorang lagi positif dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol).

“Semua yang ditahan direman selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1984,” katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2018 @ 6:46pm
d