mutakhir

Program Rehiring PATI tamat 30 Jun

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PROGRAM Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau Program Rehiring tidak akan dilanjutkan.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam satu kenyataan berkata, program yang bermula pada 15 Februari 2016 akan ditamatkan pada 30 Jun ini.

"Menerusi program ini, PATI diberikan permit kerja yang sah bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan iaitu sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.

"Bagi tempoh 15 Februari 2016 sehingga 28 Mei 2018, sebanyak 744,942 PATI dan 83,919 majikan berdaftar dalam Program Rehiring ini," katanya.

Muhyiddin berkata, selepas tarikh berkenaan semua urusan dengan vendor yang dilantik sebelum ini akan

ditamatkan.

"Tiada lanjutan tempoh akan dibenarkan.

"Orang ramai dan majikan boleh berurusan terus dengan JIM bagi semua jenis perkhidmatan untuk penggajian pekerja asing," katanya.

Menurutnya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan meneruskan program serah diri secara sukarela atau lebih dikenali dengan nama program 3+1 sehingga 30 Ogos ini.

"Program berkenaan bagi membolehkan semua PATI yang berada dalam negara ini dan PATI yang tidak layak untuk meneruskan proses Program Rehiring supaya dapat pulang ke negara asal secara sukarela.

"Selepas tarikh 30 Jun, JIM akan menjalankan gerak gempur operasi penguatkuasaan secara menyeluruh bagi memburu PATI dan majikan yang masih

berdegil dan tidak mengambil peluang untuk mengambil pekerja asing secara sah," katanya.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan majikan dan pekerja asing mematuhi undang-undang negara.

"Langkah tegas ini perlu diambil untuk mengatasi

masalah lambakan pekerja asing tanpa izin di negara ini," katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2018 @ 6:55pm
d