mutakhir

Sayu lihat rumah terbakar

Oleh Azahar Hashim

PENIAGA dan keluarganya hanya dapat memandang penuh sayu apabila semua harta musnah dalam kebakaran rumah mereka di Taman Mutiara Sungai Kob, Kulim, 8.15 malam tadi.

Ketika kejadian, Rusni Saad, 45, dan ahli keluarganya yang berniaga di bazar Ramadan di Taman Mutiara baru sahaja sampai di bank di pekan Kulim untuk membayar duit ansuran rumahnya.

“Tiba-tiba saya dapat panggilan telefon daripada adik saya yang memaklumkan kebakaran rumah saya.

“Apabila sampai, saya dapati semua harta benda musnah dan kami tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa menumpang di rumah adik ipar saya.

“Punca kejadian masih tidak diketahui dan kerugian dianggarkan sekitar RM80,000,” katanya

Rusni berkata, dia buntu memikirkan masa suntuk untuk menyediakan kelengkapan dan persiapan bagi menyambut Aidilftri.

Sementara itu, saksi kejadian yang juga adik ipar mangsa, Suhaimi Shafie, 38, berkata dia sedang berehat di ruang tamu rumah selepas berbuka puasa sebelum anak lelakinya, Muhamad Afiq Syatim, 9, memaklumkan rumah abang ipar yang terletak di hadapan rumah sedang berasap.

Katanya, pada mulanya dia tidak menghiraukan aduan anaknya itu kerana menyangkakan asap tebal berpunca daripada kanak-kanak bermain bunga api.

“Apabila saya memandang ke arah rumah abang ipar, baru ternampak asap tebal keluar dari celah tingkap menyebabkan saya berlarai untuk menyelamatkan harta benda mereka.

“Abang ipar tiada di rumah kerana ke pekan Kulim bersama keluarganya dan saya memecahkan pintu utama untuk masuk ke dalam bagi menyelamatkan barang.

“Namun asap tebal yang memenuhi dalam rumah menyukarkan usaha saya dan saya nampak api marak di bahagian dapur,” katanya.

Suhaimi berkata, dia bersama jiran sempat menyelamatkan motosikal yang diletakkan di kawasan halaman rumah serta dua tong gas sementara jiran menghubungi bomba.

Katanya, dia tidak dapat menyelamatkan beberapa barangan elektrik kerana asap terlalu tebal dan sukar bernafas.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azuan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.28 malam.

Beliau berkata, sebuah jentera bomba dari (BBP) Kulim Hi Tech bersama lima anggota dan dibantu sebuah jentera dari BBP Kulim serta empat anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Kami dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Lunas dan Karangan selain agensi lain seperti polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Kebakaran membabitkan rumah teres setingkat kelas A yang musnah 90 peratus dan tiada mangsa terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2018 @ 8:42pm
d