mutakhir

Terima hidayah di usia muda

Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

KEDATANGAN Ramadan tahun ini amat bermakna buat murid Tahun Lima berketurunan Tionghua dari Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, Kubang Pasu kerana berpeluang menjalani ibadah puasa selepas memeluk agama Islam atas kehendak sendiri Januari lalu.

Muhammad Firdaus Hong Abdullah, 11, berkata dia gembira kerana berpeluang berpuasa bersama-sama rakan dan sangat teruja bersolat tarawih di surau dan masjid di kampungnya di sekitar Tunjang.

“Sejak tadika lagi saya memang berminat dengan Islam sebab hidup dan berkawan dengan rakan-rakan beragama Islam, selain turut berminat dengan mata pelajaran agama Islam di sekolah.

“Sudah lama saya minat nak peluk Islam, tapi guru-guru nasihat waktu itu masih awal dan nasihatkan saya supaya memahami Islam terlebih dulu.

“Alhamdulillah pada Januari lalu, saya memeluk Islam secara rasmi tanpa ada paksaan daripada mana-mana pihak,” kata Muhammad Firdaus atau nama asalnya Lim Ching Hong.

Hidayahnya lebih bermakna apabila kedua ibu bapanya tidak menghalang hasrat anak mereka memeluk Islam.

Katanya, biarpun tinggal dengan ibu bapa yang bukan beragama Islam, namun mereka memahami soal halal dan haram menyebabkan ibunya hanya menyediakan makanan yang boleh dimakan sahaja.

Sementara itu, bapanya Lim Hun Kheng 45, berkata pada mulanya mereka agak keberatan untuk membenarkan anaknya menukar agama kerana bimbang, tidak boleh lagi tinggal bersama.

“Tetapi selepas diberi penerangan oleh beberapa pihak terutama pihak sekolah dan bapa angkat anak iaitu Aziz, Isa 60, akhirnya saya memberi kebenaran.

“Sehingga kini dia masih tinggal dengan kami, dan ibunya Wandee Sandeesa 40, turut bangun setiap awal pagi untuk menyediakan sahur,” kata ketika ditemui selepas menerima kunjungan guru besar sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di rumahnya di Tunjang, hari ini.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Hakim Teh Nurun Ihsan Hasbullah berkata, pihak sekolah sentiasa memberi tumpuan terhadap Firdaus dalam menjalani kehidupan sebagai orang Islam.

“Alhamdulillah, Muhammad Firdaus sudah berjaya menghafal surah-surah pendek dan akan mendaftar untuk memasuki Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) pula.

“Pihak sekolah turut membantu membelikan pakaian raya untuknya dan berusaha mendaftarkan pengislamannya di pejabat agama dan Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2018 @ 8:55pm
d