mutakhir

[UPDATE] TPM simpati nasib mangsa banjir

Oleh Petah Wazzan Iskandar dan Azahar Hashim

DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meninjau lokasi banjir di Kampung Baru Tambahan, Sungai Kob, Kulim iaitu lokasi dua beranak menjadi mangsa korban pertama dan kedua akibat banjir melanda daerah ini, sejak minggu lalu.

Timbalan Perdana Menteri turut meluangkan masa bersama Che Yang Ton yang ditemani ibu mentuanya, Hasnah Musa, 81.

Che Yang yang kehilangan suami dan anaknya dalam kejadian banjir itu, kelihatan sugul, tetapi mampu tersenyum selepas diberi kata-kata semangat oleh Dr Wan Azizah.

Dalam pertemuan itu, keluarga malang terbabit turut menerima sumbangan RM10,000 yang disampaikan sendiri Timbalan Perdana Menteri.

Dr Wan Azizah berkata, beliau berasa sungguh simpati dengan apa yang berlaku hingga menyebabkan berlaku kehilangan nyawa.

“Balu kini fobia nak balik ke rumahnya dan kita akan usahakan peruntukkan bagi memberi kesenangan kepada keluarga mangsa.

“Kita bercadang membina rumah baharu. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan tengok secara keseluruhan termasuk kaedah jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir berlaku kerana dahulu kejadian seumpama ini tidak berlaku,” katanya selepas melakukan lawatan ke kawasan banjir, hari ini.

Selasa lalu, Johari Bakar, 57 dan anak bongsunya, Nor Suri Danila Johari, 14, lemas selepas hanyut ketika cuba menyelamatkan diri bersama dua lagi ahli keluarganya.

Dalam kejadian 12 tengah malam itu, mayat Nor Suri Danila ditemui tersangkut pada pokok di tepi sungai lapan jam kemudian, selepas hanyut kira-kira tiga kilometer dari rumah.

Manakala mayat Johari pula ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya dua jam selepas penemuan mayat anaknya.

Berita berkaitan

'[UPDATE] 'Terlepas pautan tangan anak...''

'[UPDATE] 'Sempat dengar jeritan anak...''

'Dua beranak lemas banjir di Kulim'

Disiarkan pada: May 31, 2018 @ 9:36pm
d