mutakhir

Kutipan 'Please Help Malaysia' masuk THM

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

WANG yang dikumpul menerusi kutipan dana awam ‘Please Help Malaysia’ sudah diserahkan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk dimasukkan ke dalam Tabung Harapan Malaysia (THM).

Inisiatif kutipan dana awam itu diwujudkan oleh pegawai undang–undang sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Nik Shazarina Bakti Ahmad Shazilly Ismail Bakti, 27, sebagai usaha mendapatkan bantuan kewangan daripada orang ramai untuk sama-sama membantu menyelesaikan hutang negara yang mencapai angka RM1 trilion.

Ia diadakan sebelum wujudnya Tabung Harapan Malaysia (THM) secara amnya dan walaupun secara tidak rasmi, berjaya menarik perhatian netizen yang turut prihatin dengan masalah negara ketika ini.

“Saya berjaya kumpul lebih RM13,476.57 menggunakan laman web gogetfunding.com dalam masa enam jam dan selepas itu, ia disekat dan hanya dibuka semula pada Isnin lalu atas faktor keselamatan.

“Saya sudah menyerahkan wang itu kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk dimasukkan ke dalam THM. Saya gembira kerana matlamat asal untuk membantu negara sudah tercapai dan kini rakyat Malaysia boleh menyumbang melalui tabung berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Lebih menarik, wanita berkelulusan Sarjana Undang-Undang daripada University of London ini meletakkan potongan ayat yang mengimbau kembali kenangan manis tatkala rakyat Malaysia satu ketika dahulu bergolok bergadai bagi mengumpul dana membolehkan Tunku Abdul Rahman ke London bagi memperoleh kemerdekaan negara.

“Rakyat Malaysia membuktikan jika negara mengalami masalah, mereka pasti akan membantu melalui usaha ini. Syabas kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan THM sudah mengumpul RM7.07 juta sejak ia mula dilancarkan semalam sehingga 3 petang, hari ini.

Guan Eng turut mengucapkan tahniah kepada graduan undang-undang, Nik Shazarina kerana memulakan usaha mengutip sumbangan daripada rakyat Malaysia.

“Jumlah kutipan berkenaan mungkin nampak kecil, namun semangat mereka perlu dihargai dalam usaha untuk mengurangkan beban hutang negara,” katannya.

Berita berkaitan:

Tabung Harapan: Rakyat dah derma lebih RM7 juta

Ini nombor akaun Tabung Harapan Malaysia

Tabung Harapan Malaysia terima derma rakyat

Disiarkan pada: May 31, 2018 @ 9:43pm
d