mutakhir

35 terperangkap dalam 6 rumah

Oleh Junaidi Ladjana

SERAMAI 35 penduduk termasuk 10 kanak-kanak terperangkap selepas enam rumah berdekatan sungai di Kampung Ovai, Papar, dinaiki air dalam kejadian banjir kilat, malam tadi.

Kejadian itu turut menyebabkan inap desa D Buguk Homestay dihanyutkan arus deras sungai, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Kini, usaha menyelamat semua mangsa yang terperangkap sedang giat dilakukan pasukan penyelamat terdiri daripada anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Papar dan pasukan ambulans dari Hospital Papar.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman berkata, pasukan penyelamat masih memantau lokasi dilanda banjir dan pemeriksaan mendapati enam rumah terjejas manakala sebuah rumah inap desa dihanyut arus banjir.

“Seramai 35 penduduk terdiri daripada 14 lelaki dewasa, 11 wanita dewasa dan sembilan kanak-kanak lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan terperangkap.

“Usaha memindahkan mangsa giat dilaksanakan dalam keadaan berhati-hati kerana keadaan arus sungai deras dan bahaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, arus Sungai Ovai masih deras, namun sistem amaran banjir belum menunjukkan amaran bahaya.

Menurutnya, setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 1:11am
d