mutakhir

Jual kambing konsep terbuka

Oleh Mohd Rafi Mamat

Pekan: Projek Agropolitan Batu 8 Lepar di sini, mengadakan jualan biri-biri baka dorper secara terbuka setiap bulan untuk memenuhi permintaan penternak dan pembekal ternakan.

Ketua Operasinya, Mohd Fawzi Mohd Redzwan berkata, sebelum ini jualan dibuat secara lelong dengan harga ditetapkan mengikut harga bida tertinggi.

Menurutnya, konsep itu ditukar kepada konsep jualan terbuka dengan permulaan harga RM500 seekor.

“Pengurusan bercadang mengadakan program jualan terbuka setiap bulan dan kami adakan pelbagai aktiviti lain termasuk menjual daging segar dan demonstrasi masakan berasaskan biri-biri.

“Biri-biri golek disediakan bagi memberi peluang kepada pengunjung mencuba dan menilai sendiri kelazatannya dan penduduk setempat diberi peluang untuk berniaga,” katanya di Program Jualan Terbuka Pertama di Pusat Lelongan Projek Agropolitan Batu 8 Lepar di sini, semalam.

Hadir sama Pengurus Agropolitan Batu 8 Lepar, Yusof Aman.

Mohd Fawzi berkata, program itu diadakan dua hari dan mendapat sambutan menggalakkan apabila menjual lebih 100 biri-biri berusia empat bulan.

Menurutnya, kebanyakan pengunjung ialah penternak di Pekan, Kuantan dan Temerloh membeli dua ke 50 biri-biri dorper untuk menambah jumlah ternakan masing-masing.

“Kami sediakan perkhidmatan memotong bulu biri-biri untuk pastikan ia sentiasa bersih,” katanya yang memberitahu terdapat kira-kira 7,000 induk jantan dan betina serta 3,000 anak biri-biri.

Sementara itu, Rahimah Harun, 52 berkata, dia membeli 10 biri-biri bagi menambah jumlah ternakannya selepas tertarik dengan tawaran harga berpatutan di jualan terbuka itu.

“Harga RM500 ke RM700 sangat berpatutan dan biri-biri dorper dewasa boleh mencapai berat hingga 70 kilogram (kg) dan permintaan terhadapnya sangat menggalakkan,” katanya yang menetap di Kampung Sungai Gau, Temerloh.

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 10:37am
d